RADIO DARULBAYAN

Isnin, 17 November 2008

KITA YANG TELAH GAGAL

bh131108

Hari ini Berita Harian melaporkan kenyataan dari Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut yang mendedahkan kes ibu tunggal yang terpaksa melacur demi menyara anak-anak. Pendedahan yang dibuat di Seminar Isu-isu Mahkamah Syariah ke-10 di UIAM itu sepatutnya mengejutkan kita dari tidur dan menyedari segera bahawa masyarakat sudah berada di dalam keadaan yang paling teruk pada masa kini di negara yang tercinta ini.

Walau apapun alasan yang digunakan untuk menghalalkan tindakan ini, termasuklah untuk menyara anak-anak, perbuatan melacur tentulah satu langkah yang tidak boleh dimaafkan. Biarpun kaedah fiqh ada menyebut `sesuatu itu dinilai dengan tujuannya’ tetapi ia dikecualikan apabila perbuatan itu ialah maksiat. Maka pelacuran adalah sesuatu yang amat keji bahkan tidak mempunyai ruang untuk dihalalkan di atas apa jua alasan sekalipun.

Mungkin kita boleh berkata demikian, tetapi di dalam keadaan si ibu yang terdesak akibat kelalaian pihak suami menyediakan nafkah untuk anak-anak, itulah dia satu-satunya jalan keluar yang dapat diambil. Namun, di manakah instituti masyarakat yang bertanggungjawab? Siapa jua yang kita tudingkan jari, hakikatnya kita telah gagal menyediakan satu ruang selesa untuk rakyat Malaysia bernafas dengan lega di bumi ini.

Pemimpin-pemimpin ke mana? Pimpinan wanita dalam masyarakat pula tidak tergerakkan hati membaca isu ini? Atau masih sibuk bercakaran merebut kuasa? Nampaknya sehingga bulan Mac 2009, kita hanya akan menyaksikan episoh perebutan kuasa yang tidak berkesudahan dan juga adegan-adegan pergaduhan yang berpanjangan ekoran kerakusan mencari kedudukan dan pangkat.

Dalam kesibukan itulah, kita terlepas isu-isu seperti ini. Kita telah gagal mendidik rakyat menjadi rakyat yang mementingkan maruah dan harga diri. Sehingga untuk menyara anak-anak untuk hidup, pelacuran dipilih sebagai jalan keluar. Barangkali zaman sekarang hampir mustahil mencari pemimpin seperti Umar yang menggalas beban di tengah malam hanya untuk memberikan makan kepada seorang wanita yang tidak mempunyai bahan makanan untuk anak-anaknya!

0 ulasan:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com