RADIO DARULBAYAN

Ahad, 12 Oktober 2008

Takziah.. Ustaz Wan Mahmood bin Daud Meninggal Dunia

11 Oktober 2008 – Bekas pensyarah subjek Bahasa Arab KIAS yang cukup dikenali di kalangan bekas-bekas pelajar khususnya, Ustaz Wan Mahmood bin Daud meninggal dunia hari ini kira-kira pukul 9.00 pagi di rumahnya di Pasir Puteh. Allahyarham merupakan tenaga pengajar di KIAS selama hampir 7 tahun dan mengambil cuti sakit pada pertengahan tahun 2005 akibat barah otak yang dihidapinya. Bagaimanapun, allahyarham tidak dapat menyambung kembali perkhidmatan di KIAS kerana penyakitnya tidak berjaya diubati. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Pondok Tok Guru Daud Bukit Abal iaitu masjid allahyarham bapanya sendiri yang merupakan seorang tuan guru yang terkemuka. Turut sama hadir untuk menyembahyangkan jenazah ialah Ketua Ekesekutif KIAS, Dr Johari bin Mat serta para pensyarah yang lain. Tidak ketinggalan beberapa orang bekas pelajar KIAS yang turut sama hadir mengiringi perjalanan terakhir seorang guru yang dikasihi. Allahyarham pastinya akan dikenang sebagai seorang guru yang telah memberikan banyak sumbangan dalam mendidik pelajar-pelajarnya. Sepanjang berada di KIAS, allahyarham pernah dilantik sebagai penasihat PMKIAS dan penyelaras pusat bahasa. Semoga Allah merahmati roh allahyarham dan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.

TAHNIAH-TAHNIAH ..MOGA BAHAGIA

Selamat Pengantin Baru… Ustaz Mirza Alauddin bin Razali

11 Oktober 2008 – Selamat pengantin baru diucapkan kepada Ustaz Mirza Alauddin bin Razali, bekas siswa KIAS Ijazah Sarjana Muda Usuluddin 2002/2005 yang telah diijabkabulkan hari dengan gadis pilihannya, Yusliana binti Che Yusof. Mirza yang merupakan graduan dari IAIN Jambi, Indonesia kini bertugas sebagai guru di Maahad Tahfiz Al-Quran, Kok Lanas di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Isterinya dari Bukit Tinggi, Klang, Selangor merupakan graduan Malaysia Multimedia University (MMU) Melaka di dalam bidang akauntan dan bertugas sebagai Eksekutif Akauntan di Petaling Jaya. Majlis menyambut menantu akan diadakan di rumah Mirza di Kampung Belanga, Kuala Krai pada 18 Oktober 2008 nanti. Selamat pengantin baru dan semoga berbahagia hingga ke akhirat.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com